ISU perpaduan bukanlah sesuatu yang asing sebaliknya menjadi isu sejagat dalam menentukan hala tuju kesinambungan dalam sesebuah Negara.
Berkaitan hal ini, sememangnya tak dinafikan bahawa seringkali wujud pihak yang bersikap talam dua muka, sanggup menjadi gunting dalam lipatan atas hasrat merosakkan dan menghanurpunahkan kerajaan sedia ada hanya atas alasan untuk kepentingan politik peribadinya sendiri.
Sesungguhnya tidak kiralah di mana letak kedudukan idealogi atau manifesto politik sesebuah parti, seharusnya ia tidak akan membangkitkan persoalan-persoalan yang boleh menganggu-gugat kesejahteraan dan kerukunan yang sedia terjalin erat.
Perlu difahami, konsep negara Malaysia hari ini terbina dengan ikatan persefahaman antara pelbagai kaum yang menjadi tunjang penggerak negara. Apa yang pasti ianya bukan terbina hanya dengan sekelip mata atau melalui coretan di atas kertas sahaja sebaliknya ia melibatkan rundingan demi rundingan iaitu perbincangan membentuk kesatuan dalam kepelbagaian.
Dalam aspek perpaduan, ambil sahaja negara-negara jiran lain sebagai contoh kepada kesan nipisnya ikatan persefahaman yang ada. Kekacauan dan ketidaktenteraman yang berlaku hinggakan alasan demokrasi dan kebebasan bersuara menjadi alasan ekoran tidak disertai dengan pemikiran rasional dan jati diri rakyatnya yang hanya menyumbangkan kepada keruntuhan sesebuah negara.
Sememangnya, peristiwa berdarah 13 Mei perlu dijadikan iktibar apatah lagi dilaporkan bahawa angka rasmi menunjukkan 196 kematian, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan.
Ini tidak termasuk lagi dengan kemusnahan dan kerosakan harta benda yang bukan sedikit impaknya.
Lantaran itulah, kewajaran perlu diletakkan di tangga teratas dalam melaksanakan tuntutan tanpa melihat kepada kepentingan individu semata-mata sebaliknya mengutamakan rakyat dan negara dengan menerobos masa hadapan.
Dalam mengaitkan dengan situasi politik yang berlaku hari ini, sememangnya kerisauan bukanlah ke atas cubaan pakatan campuran kepada motif untuk menghancurkan BN semata-mata sebaliknya ia juga adalah sebagai cubaan mereka untuk merobek keamanan dan kesejahteraan di samping merosakkan perpaduan antara kaum yang telah terjalin sekian lama.
Hasutan, provokasi dan manipulasi berterusan di samping ajakan untuk demonstrasi dihantar melalui sistem pesanan ringkas dan tulisan dalam laman media rasmi mereka, sama ada secara bercetak atau elektronik dengan alasan, kononnya untuk suarakan rasa hati.
Sememangnya diakui oleh para pemimpin dalam BN bahawa keputusan dalam pilihan raya lalu memberi kesan yang bukan sedikit malahan pelbagai pihak mula menggesa agar perubahan dibuat supaya landskap politik negara dan perpaduan dapat dilihat dalam skop yang lebih penting.
Namun demikian, atas kemuafakatan bersama, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing; ke bukit sama didaki dan ke lurah sama dituruni maka segala susah payah dan caci keji yang dilemparkan oleh pihak pembangkang juga adalah amanah bersama.
Lantas dalam agenda kebersamaan untuk terus mengekalkan kesejahteraan dan perpaduan sikap tolak ansur dan saling memahami antara satu kaum dengan kaum yang lain, walaupun berlainan parti, berlainan agama, budaya dan warna kulit tetapi atas satu Malaysia, BN menjadi tunjangnya.
Secara relatifnya dalam menjamin kemajuan dan keutuhan sesebuah negara adalah nilai rakyatnya untuk terus menyumbang bakti atas satu kesatua dan kebersamaan.
Lihatlah kedudukan BN hasil gabungan dengan parti-parti komponan yang mencakupi pelbagai bangsa, perbezaan agama dan budaya namun mampu mencapai kata sepakat bukan hanya ketika menjelangnya pilihan raya atau selepas menang bagi membentuk kerajaan semata-mata.
Sejak pilihan raya pertama diadakan pada tahun 27 Julai 1955 hinggalah ke pilihan raya ke-12 yang lalu, BN yang dahulunya parti Perikatan tetap unggul bersama dengan hanya menggunakan satu lambang sebagai bukti perpaduan tanpa menonjolkan lambang parti masing-masing.
Parti-parti komponan dalam BN sentiasa menjaga muafakat dan persefahaman biarpun berlainan bangsa dan agama, dalam pelbagai situasi walaupun pernah dilanda badai 1969 tetapi kekukuhan bersama demi kesejahteraan diutamakan.
Lantaran itu, tentunya pihak yang sengaja cuba merosakkan hubungan yang terjalin ini adalah anggota/warga yang tidak bertanggungjawab dan gagal mennyelami maksud serta menghargai perpaduan yang dimiliki.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, dan penduduknya pula berbilang kaum tentunya kesejahteraan negara mendapat tempat yang istimewa dalam memanifestasikan kelestarian antara kaum dalam rakyat keseluruhannya.
Justeru, selamilah segala yang telah menjadi sejarah, lantas jadikanlah peristiwa-peristiwa lalu sebagai pengajaran untuk kesejahteraan yang berpanjangan.
