N9kini TV

Thursday, 2 June 2011

PEMBANGUNAN EKONOMI SDSI 2011 PERINGKAT NEGERI SEMBILAN



Pembangunan Ekonomi Setempat menjadi landasan utama yang diberi penekanan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dan satu usaha mempromosikan produk tempatan melalui program Pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2011 Peringkat Negeri Sembilan telah dilancarkan semalam sehingga 5 Jun 2011 di Pasaraya AEON Jusco, Seremban 2.

Program yang melibatkan 8 Daerah dan 25 Pengusaha Produk Tempatan merupakan usaha daripada Kerajaan Negeri Sembilan ini adalah sangat murni dan memberi peluang kepada pengusaha tempatan mempromosikan produk mereka ke persada antara bangsa.

Sesuai dengan tema program iaitu ”Dari Malaysia ke Persada Dunia” maka  ianya bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri kerana melihat produk tempatan di promosikan secara meluas.

Malah dengan pendekatan seperti ini, perusahaan yang sedia ada mampu berdaya saing, mencambah juga menjana ekonomi negeri khususnya dan negara amnya  sambil dapat memberi  pendapatan isi rumah sekaligus kadar kemiskinan dapat dikurangkan.

Pelbagai produk tempatan sedang dipromosikan di pameran ini antaranya produk kraftangan batik, produk homestay iaitu pelancongan, produk kesihatan berasaskan kelapa dan pelbagai lagi. Menjadi hasrat Kerajaan Negeri agar pengusaha tempatan mampu menembusi pasaraya besar dalam dan luar negara.

Malah sikap positif masyarakat dan pengguna mengutamakan barangan tempatan adalah digalakkan. Seperti slogan ”Belilah Barangan Buatan Malaysia.”

Di dalam langkah-langkah mempromosikan produk tempatan,  pembungkusan dan perlabelan adalah perkara yang sangat penting sekali. Dua perkara ini akan menarik minat pembeli dan pengguna kerana tarikan yang ada pada produk yang dipasarkan.

Malah agensi-agensi seperti SIRIM, FAMA dapat membantu usaha-usaha ini. Pengusaha-pengusaha tempatan juga perlu mempunyai inisiatif dan kreativiti dalam usaha menjadi Pengusaha Tempatan Peringkat Antara bangsa.

Kerajaan Negeri Sembilan amat menyokong konsep SDSI yang mula digerakkan dalam Rancangan Malaysia Ke-6 (RMK-6) iaitu pada tahun 1992 yang dikenali sebagai Program Satu Kampong Satu Produk (SKSP) yang mengambil ilham dari kejayaan program One Village One Product (OVOP) di Oita Prefecture, Japan.
Perkembangan perusahaan telah bercambah dari tahun ke tahun. Maka pada tahun 2003, penjenamaan semula telah dilakukan di mana SKSP diubah menjadi SDSI.

PEMBANGUNAN KOMPLEKS BAITUL HILAL DI PORT DICKSON


Pembangunan Kompleks Baitul Hilal, Port Dickson telah melalui Pembangunan Fasa Kedua apabila Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan WAKAF dan Zakat dan Haji (JAWHAR) bertindak menjadikan Kompleks Baitul Hilal tercanggih di Asia.

Kompleks Baitul Hilal yang dulunya dikenali sebagai Balai Cerapan dibina pada awal tahun 1970an seluas 1.4 hektar di mana banggunan utamanya Anjung Cerap, Bilik Solat, banggunan pentadbiran dan sebagainyanya.
Kini, melalui pembangunan Fasa kedua yang dijangka siap pada November 2011, turut ditambah ialah pembinaan Hotel Wakaf di samping prasarana yang lengkap dan canggih di pusat cerapan Baitul Hilal.

Bangunan 2 tingkat Baitul Hilal menempatkan Pejabat Pengkajian Astronomi dan Balai Cerapan, Pusat Latihan dan Seminar MAINS. Ia melibatkan keluasan binaan iaitu 1742.46m². Manakala Pembinaan Hotel Wakaf 4 tingkat itu telah dibahagikan kepada 2 unit iaitu Unit Hotel sebanyak 85 unit dan Unit Apartment sebanyak 3 unit.
Baitul Hilal di Port Dickson juga telah melakarkan sejarah tersendiri apabila paling banyak ketampakan cerapan dilakukan bagi menentukan tarikh bagi bulan Islam terutamanya menentukan 1 Ramadhan, 1 Syawal dan 1 Zulhijjah.

Merujuk kepada Penolong Mufti Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Sembilan Ahmad Zaki Hamzah pada tahun 2006 berkata rekod ketampakan anak bulan dicatat paling tinggi di Baitul Hilal iaitu sebanyak sembilan kali. “Ia dilihat pada 1972, 1973, 1974, 1976, 1980, 1981, 1983, 1984 dan 1989. Kesemua itu dicatat ketika melihat anak bulan syawal.”

Peranan balai cerapan anak bulan Baitul Hilal mempunyai keistimewaannya tersendiri iaitu berdepan dengan ufuk yang luas tanpa mempunyai halangan dan satu kedudukan paling strategik di Asia Tenggara.

Kompleks yang dijangka siap menjelang November 2011 ini bakal menjadi produk pelancongan di mana hasrat kerajaan Negeri Sembilan mensasarkan kehadiran kumpulan pakar-pakar astronomi dari pelbagai negara.

Para pengkaji ini boleh  menggunakan prasarana dan kemudahan canggih yang di sediakan dan ianya akan juga memberi peluang  kepada Kelab Astronomi di peringkat sekolah dan universiti melakukan kajian mereka.

Others Blog List