Pembangunan Ekonomi Setempat menjadi landasan utama yang diberi penekanan oleh Kerajaan Negeri Sembilan dan satu usaha mempromosikan produk tempatan melalui program Pameran Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2011 Peringkat Negeri Sembilan telah dilancarkan semalam sehingga 5 Jun 2011 di Pasaraya AEON Jusco, Seremban 2.
Program yang melibatkan 8 Daerah dan 25 Pengusaha Produk Tempatan merupakan usaha daripada Kerajaan Negeri Sembilan ini adalah sangat murni dan memberi peluang kepada pengusaha tempatan mempromosikan produk mereka ke persada antara bangsa.
Sesuai dengan tema program iaitu ”Dari Malaysia ke Persada Dunia” maka ianya bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri kerana melihat produk tempatan di promosikan secara meluas.
Malah dengan pendekatan seperti ini, perusahaan yang sedia ada mampu berdaya saing, mencambah juga menjana ekonomi negeri khususnya dan negara amnya sambil dapat memberi pendapatan isi rumah sekaligus kadar kemiskinan dapat dikurangkan.
Pelbagai produk tempatan sedang dipromosikan di pameran ini antaranya produk kraftangan batik, produk homestay iaitu pelancongan, produk kesihatan berasaskan kelapa dan pelbagai lagi. Menjadi hasrat Kerajaan Negeri agar pengusaha tempatan mampu menembusi pasaraya besar dalam dan luar negara.
Malah sikap positif masyarakat dan pengguna mengutamakan barangan tempatan adalah digalakkan. Seperti slogan ”Belilah Barangan Buatan Malaysia.”
Di dalam langkah-langkah mempromosikan produk tempatan, pembungkusan dan perlabelan adalah perkara yang sangat penting sekali. Dua perkara ini akan menarik minat pembeli dan pengguna kerana tarikan yang ada pada produk yang dipasarkan.
Malah agensi-agensi seperti SIRIM, FAMA dapat membantu usaha-usaha ini. Pengusaha-pengusaha tempatan juga perlu mempunyai inisiatif dan kreativiti dalam usaha menjadi Pengusaha Tempatan Peringkat Antara bangsa.
Kerajaan Negeri Sembilan amat menyokong konsep SDSI yang mula digerakkan dalam Rancangan Malaysia Ke-6 (RMK-6) iaitu pada tahun 1992 yang dikenali sebagai Program Satu Kampong Satu Produk (SKSP) yang mengambil ilham dari kejayaan program One Village One Product (OVOP) di Oita Prefecture, Japan.
Perkembangan perusahaan telah bercambah dari tahun ke tahun. Maka pada tahun 2003, penjenamaan semula telah dilakukan di mana SKSP diubah menjadi SDSI.

No comments:
Post a Comment